PETALING JAYA – “Kita akan terus berada di sini, hingga hilang penderitaan. Kita akan terus di sini, hingga menjadi indah irama kehidupan,” itu antara lirik lagu dinyanyikan petugas perubatan Hospital Al-Awdah di Gaza selepas diarahkan Zionis Israel mengosongkan bangunan itu atau dibom.
Video beberapa petugas perubatan sedang menyanyi lagu itu dimuat naik menerusi Instagram Cinta Syria Malaysia sekali gus meruntun jiwa rakyat Malaysia yang kagum dengan tahap keimanan rakyat Palestin.
“Kita semua harus bangkit dengan dengan penawar dan pena. Kita semua peduli kepada mereka yang menderita, maka kita meneruskan perjalanan, menuju tujuan lebih besar. Sehingga kita benar-benar menjadi umat terbaik dunia,” antara lirik seterusnya lagu tersebut.
Menerusi kapsyen Cinta Syria Malaysia, petugas perubatan Gaza itu disifatkan tidak takut kehilangan di dunia, bahkan sedia menanti syahid.
“Itu jawapan petugas kesihatan selepas diarahkan penjajah untuk kosongkan Hospital Al-Awdah di Gaza atau dibom. Bangsa hebat. Tidak takut hilang apa-apa di dunia kerana yang menanti adalah syahid atau kemenangan,” menurut hantaran itu hari ini.
Sementara itu, rakyat Malaysia turut mendoakan kesejahteraan petugas-petugas tersebut selain balasan baik daripada Allah kepada mereka.
“Macam pengakhiran lagu sunnah berjuang, syahid atau menang,” kata masanizaibrahim.
“Masya-Allah, menitis air mata melihat keimanan mereka,” komen monawahab.
“Allahuakbar, hebatnya iman mereka. Syurga Firdaus menanti insya-Allah,” ujar nuriman_nilai. – KOSMO! ONLINE