PARIS – Jurulatih Paris Saint-Germain (PSG) menganggap kemenangan 3-0 ke atas Strasbourg dalam saingan Ligue 1 sebagai persiapan terbaik menjelang aksi Kumpulan F Liga Juara-Juara menentang AC Milan di Parc des Princes awal pagi esok.
PSG pastinya mahu melakar kebangkitan dalam kancah bola sepak Eropah selepas mereka dimalukan Newcastle United 4-1 pada aksi kedua peringkat kumpulan yang berlangsung 5 Oktober lalu.
Enrique berkata, kemenangan ke atas Strasbourg mampu menjadi pembakar semangat buat pemain-pemainnya memandangkan mereka sedang mengintai peluang untuk memintas Newcastle sebagai pendahulu kumpulan.
“Kemenangan ke atas Strasbourg adalah sesuatu yang baik dan saya berpuas hati kerana ia adalah aksi sukar selepas rehat antarabangsa. Perlawanan tanpa penyokong dan ultras, sesuatu yang cukup ganjil.
“Bagaimanapun, pasukan bermain sangat baik dan ia boleh menjadi persiapan terbaik kami sebelum bertemu Milan dalam Liga Juara-Juara. Semua pemain tahu tanggungjawab masing-masing,” katanya.
Sementara itu, Enrique juga tidak memberi jaminan kesebelasan utama kepada semua pemain memandangkan beliau sentiasa membuat penilaian terhadap prestasi pemain sepanjang sesi latihan.
“Saya bertuah kerana memiliki pemain yang boleh beraksi di pentas tertinggi, jadi tidak ada pemain tetap untuk kesebelasan utama. Sesiapa yang menunjukkan prestasi baik akan diberikan peluang bermain,” ujarnya. – AGENSI