PETALING JAYA – Kemeruapan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS$) baru-baru ini dilihat tidak menjejaskan aktiviti ekonomi buat masa ini, menurut Ketua Penganalisis Ekonomi dan Kewangan Sosial, Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid.
Menurut beliau, kenyataan Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Abdul Rasheed Abdul Ghaffour kelmarin jelas menunjukkan bahawa faktor yang menentukan nilai ringgit adalah kuasa pasaran.
“Faktor seperti kadar faedah di Amerika Syarikat dan situasi geopolitik banyak mempengaruhi kemeruapan ringgit.
“Hakikatnya, sektor perbankan masih lagi aktif memberikan pembiayaan kepada isi rumah serta perniagaan dan mereka ini bebas untuk memohon sebarang bentuk program pembiayaan bersesuaian.
“Namun, permohonan pembiayaan tersebut akan sentiasa tertakluk kepada keupayaan untuk melunaskan hutang serta tahap keberhutangan. Justeru, kemeruapan ringgit tidak menjejaskan aktiviti ekonomi,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Abdul Rasheed pada Persidangan JC3 Journey to Zero di Sasana Kijang, Kuala Lumpur kelmarin menegaskan pihaknya komited melaksanakan langkah perlu bagi memastikan ringgit diselaraskan secara teratur dalam persekitaran kewangan semasa.
Menurut beliau, pergerakan ringgit semasa banyak dipengaruhi peristiwa global dan tidak mencerminkan asas ekonomi Malaysia yang kukuh.
Semalam, ringgit diniagakan pada kadar sekitar 4.77 berbanding AS$.
Pada masa sama, Mohd. Afzanizam menjelaskan, kemeruapan ringgit akan memberi kesan kepada barangan yang diimport dan ia bakal mengakibatkan kenaikan kos perniagaan.
“Sekiranya kos ini dipindahkan kepada pengguna, maka berlakulah inflasi barangan yang diimport. Oleh itu, situasi turun naik nilai ringgit ini juga menuntut kepada para peniaga untuk melihat semula struktur kos mereka,” ujarnya.