GEORGE TOWN – Pelajar perempuan berusia 15 tahun yang terselamat selepas terjun di Kilometer 3.4 Jambatan Pulau Pinang, dari arah Perai ke pulau, semalam dikatakan baru bertukar ke sebuah sekolah di Pokok Sena, Kepala Batas, di sini, April lalu.
Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai, Hasrul Rizal Ghazali berkata, pihaknya ada menemui pakaian sekolah dan alat tulis di dalam beg sandang yang ditinggalkan di dalam kenderaan e-hailing yang dia naiki.
Menurutnya, pihaknya dimaklumkan yang mangsa sebelum kejadian dalam perjalanan ke Stesen Bas Sungai Nibong.
“Remaja tersebut ditemui dalam keadaan stabil selepas bertindak terjun dari ketinggian enam meter (20 kaki) dari tembok jambatan berkenaan.
“Kami ada menemui uniform siap dengan lencana sekolah, alat tulis dan satu minuman tin. Bagaimanapun, kita tidak menjumpai kad pengenalannya di lokasi kejadian dan kami juga difahamkan yang dia tinggal bersama neneknya di Pokok Sena.
“Dia (remaja) hanya mendiamkan diri sepanjang operasi menyelamatkan dijalankan, mungkin dia dalam keadaan masih trauma,” katanya kepada Kosmo! di sini, sebentar tadi.
Beritahu beliau lagi, mangsa yang berasal dari Arau, Perlis itu kemudiannya dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin Wilayah Satu di Batu Uban sebelum dibawa ke Hospital Pulau Pinang dengan ambulans.
Terdahulu, remaja perempuan tersebut berjaya diselamatkan nelayan pantai yang ketika itu berada di lokasi kejadian kira-kira pukul 8.20 malam semalam.
Kejadiaan dikatakan berlaku kira-kira pukul 7 malam ketika laluan di jambatan berkenaan sesak di kedua-dua arah.
Mana-mana individu yang mempunyai masalah kemurungan atau menghadapi tekanan boleh menghubungi Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS) di 03-29359935 atau 014-3223392 atau Talian Kasih 15999/WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999. -KOSMO! ONLINE.