fbpx

Pensyarah politeknik wajib berkhidmat tiga bulan dalam industri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. ZAHARI (tiga dari kiri) bersama penerima Anugerah Akademia POLYCC di MITC, Ayer Keroh, Melaka. Foto oleh AMRAN MULUP/KOSMO!

MELAKA – Pensyarah politeknik dan kolej komuniti (POLYCC) akan diwajibkan berada dalam industri selama tiga bulan bagi memastikan pengalaman diperolehi dapat dikongsi dengan pelajar.

Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Kementerian Pendidikan, Datuk Mohd. Zahari Ismail berkata, seramai 10,000 pensyarah yang berkhidmat di 36 politeknik dan 105 kolej komuniti akan diberikan latihan bagi memantapkan kepakaran dalam pelbagai bidang terutama pendidikan teknikal serta latihan vokasional (TVET).

Ujarnya, golongan itu juga digalakkan melanjutkan pengajian, mengikuti latihan serta kursus kemahiran dan latihan semula bagi memastikan pensyarah terlibat mampu mengajar mengikut kemampuan dan kehendak industri.

“Setakat ini tenaga pengajar seramai 10,000 orang adalah mencukupi mengikut keperluan dan standard ditetapkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk memacu POLYCC ke arah memperkasakan TVET.

“Kita sentiasa meningkatkan kemahiran dan kepakaran pensyarah bagi memastikan mereka mengajar mengikut keperluan mengikut kehendak industri semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Anugerah Akademik POLYCC di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini, semalam.

Pada majlis tersebut, Datuk Mohlis Jaafar diumumkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Akademik TVET, di samping 10 penerima anugerah dalam pelbagai kategori antaranya Anugerah Penyelidikan dan Inovasi, Anugerah Penerbitan, Anugerah Pensyarah Harapan dan Anugerah Pensyarah Cemerlang.

Tambah Mohd. Zahari, peruntukan sebanyak RM2 bilion menerusi Belanjawan 2024 akan digunakan untuk memperkasakan TVET di POLYCC seluruh negara, sekali gus melahirkan lebih ramai pelajar berkemahiran.

“Ini dilihat sebagai satu keperluan selepas rekod TVET membuktikan bidang itu mampu melahirkan ramai pekerja mahir terlatih, berupaya mencipta pekerjaan sendiri serta menjadi rebutan majikan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI