fbpx

Penoreh getah dijel 8 tahun, denda RM3,000 cuba bunuh polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhamad Saidi (tengah) ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar hari ini atas pertuduhan cubaan membunuh seorang anggota polis dalam kejadian pada 17 Oktober lalu.

KUALA KANGSAR – Seorang penoreh getah dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan cubaan membunuh seorang anggota polis menggunakan kapak di Felda Bersia, Gerik minggu lalu.

Tertuduh, Muhamad Saidi Che Omar, 31, juga berdepan hukuman penjara lima bulan lagi sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Hukuman tersebut diputuskan setelah duda anak satu itu mengaku bersalah di hadapan Hakim Rohaida Ishak.

Hukuman itu berjalan daripada tarikh tertuduh ditangkap pada 17 Oktober lalu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa cuba membunuh Reymee Abdul Rahman, 38, dengan cara melibas ke bahagian kepala dan lengan menggunakan sebilah kapak di kebun kelapa sawit di Felda Bersia, Gerik pada pukul 11.30 pagi, 17 Oktober 2023.

Dia didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Jika perbuatan itu menyebabkan kecederaan kepada seseorang, tertuduh turut boleh dihukum di bawah kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Firdaus Nor Azlan manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Hennie Soraya Hanafi.

Terdahulu, Hennie Soraya merayu hukuman penjara paling singkat atas alasan anak guamnya yang bekerja sebagai penoreh getah dengan pendapatan bulanan RM500 itu perlu menyara seorang anak yang masih bersekolah selain ibu bapa dan seorang adik.

Bagaimanapun, Muhammad Firdaus memohon kepada mahkamah agar tertuduh dikenakan hukuman berat mengambil kira perbuatan tertuduh yang boleh menyebabkan kematian mangsa.

“Hukuman itu juga sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat yang jenayah sebegitu tidak boleh diterima dan tiada toleransi di negara kita,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI