KUALA LUMPUR – Seorang tukang kimpal di sebuah syarikat besi tampil membuat aduan kepada Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) selepas dokumen pindah milik tanah iaitu Borang 14A pada dua tahun lalu, dipalsukan oleh syarikat penjual hartanah.
Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, mangsa yang dikenali Nik Jefri Ismail,37, telah membeli tanah berkenaan dengan harga RM100,000 namun dokumen pindah milik menyatakan harga pembelian tanah itu adalah RM30,000.
“Pada dua tahun lalu, mangsa telah membeli tanah di Melaka dan melakukan pembayaran sebanyak tiga kali iaitu satu kali secara dalam talian serta dua kali melalui pembayaran cek. Mangsa menyedari hal berkenaan setelah membuat semakan dibuat di Pejabat Tanah dan Galian (PTG) selepas berhasrat menjual semula tanah berkenaan.
“Syarikat hartanah terbabit telah memalsukan dokumen malah meniru tandatangan mangsa yang mana tandatangan pindah milik itu sepatutnya disaksikan oleh pentadbir Pejabat Tanah dan Galian (PTG). Implikasi pemalsuan Borang 14A ini akan menyebabkan kadar Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) tinggi.
“Isunya adalah bagaimana pindah milik Borang 14A ini boleh berlaku tanpa kehadiran pembeli? Tandatangan pembeli juga telah dipalsukan malah mangsa juga tidak hadir di PTG,” katanya ketika sidang akhbar di Nasken Coffee Sungai Besi, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, mangsa, Nik Jefri berkata, tanah itu dibeli selepas melihat satu kiriman di Facebook pada 2020 dan bersetuju untuk membeli tanah tersebut selepas melawatnya.
“Saya membuat bayaran sebanyak tiga kali pada 2021 iaitu kali pertama secara dalam talian sebanyak RM1,000 seterusnya cek berasingan sebanyak dua kali, RM49,000 dan RM50,000. Saya juga dijanjikan tanah tersebut akan ditambak namun pihak sana tidak berbuat demikian.
“Saya mengambil keputusan untuk jual tanah tersebut tetapi pemilik asal mengelak untuk memberi Borang 14A. Akhirnya, saya dapati jumlah harga tanah yang dijual berbeza dengan yang dibeli dan tandatangan pada Borang 14A itu bukan tandatangan saya,” katanya.
Sementara itu, Penasihat MHO, Tan Sri Musa Hassan berharap pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas terhadap kes ini susulan mangsa telah membuat laporan sejak Mei lalu.
“Laporan polis telah dibuat pada 30 Mei lalu dan sepatutnya polis telah memberi perkembangan siasatan. Oleh itu, saya gesa polis melihat semula laporan tersebut dan menjalankan siasatan supaya tindakan bernas dapat diambil.
“Saya yakin ramai lagi menjadi mangsa penipuan seperti ini. Kes sebegini adalah serius dan perlu diambil tindakan sewajarnya dengan segera,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE.