fbpx

Pemandu lori dicekup bawa 980,000 batang rokok seludup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wan Jamal Abdul Salam (dua dari kanan) menunjukkan rokok seludup yang dirampas di dalam sebuah lori pada sidang akhbar di Cawangan Penguatkuasaan JKDM Pengkalan Kubor, Tumpat hari ini. Foto oleh ROHANA ISMAIL/KOSMO!

TUMPAT – Sebuah lori yang membawa sebanyak 980,000 batang rokok seludup bernilai RM765,380 termasuk cukai ditahan di Melor, Kota Bharu selepas diekori kenderaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sejauh hampir 50 kilometer (km) pada minggu lalu.

Lelaki berusia 40 tahun itu yang memandu lori jenis Foton Aumark dicekup kira-kira pukul 11.30 malam pada 18 Oktober lalu apabila JKDM mengekori kenderaan tersebut dari Tumpat.

Pengarah JKDM Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, sepasukan anggota Cawangan Penguatkuasa JKDM Pengkalan Kubor bertindak mengekori lori terbabit selepas melihat ia dipandu dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, selepas hampir 50 km, lori terbabit ditahan semasa tiba di persimpangan lampu isyarat di pekan Melor.

“Pemeriksaan pada bahagian belakang lori itu menemui beberapa kotak yang dibungkus plastik hitam.

“Siasatan lanjut di dalam kotak itu membawa kepada penemuan sebanyak 980,000 batang rokok bernilai RM107,800 dengan cukai RM657,580,” katanya pada sidang akhbar di Cawangan Penguatkuasaan JKDM Pengkalan Kubor di sini hari ini.

Wan Jamal Abdul Salam memberitahu, rokok-rokok itu dipercayai diseludup melalui jalan laut dari negara jiran sebelum ia dibawa menggunakan lori tertutup bagi mengaburi mata pihak penguat kuasa.

Menurutnya, rokok tersebut akan dijual di sekitar Lembah Klang dan jenama tersebut mendapat permintaan tinggi di kawasan itu.

Tambahnya, pemandu lori itu ditahan reman selama 14 hari bermula 19 Oktober lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI