ALOR GAJAH – Seorang pemandu bas maut manakala enam penumpang cedera selepas bas ekspres yang mereka naik merempuh belakang sebuah treler di Kilometer 220.7 Lebuh Raya Utara-Selatan (arah utara) awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 pagi itu, mangsa, Zainuddin Jaidun, 49, meninggal dunia di lokasi, manakala enam yang lain cedera di pelbagai anggota badan termasuk tiga daripada mereka mengalami patah kaki.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, kemalangan dipercayai berlaku ketika bas ekspres itu dalam perjalanan dari Singapura menuju ke Terminal Bas Seremban, Negeri Sembilan.
“Setiba di lokasi bas berkenaan melanggar belakang sebuah treler yang membawa muatan besi dari Melaka ke Rawang, Selangor di lorong pertama.
“Akibat kemalangan tersebut, pemandu bas mengalami kecederaan parah dah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala enam penumpang turut mengalami kecederaan dan dikejarkan ke Hospital Rembau dan Hospital Seremban,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Tambahnya, enam penumpang yang cedera berusia antara 28 hingga 35 tahun dengan seorang daripadanya adalah warga Singapura.
Mengulas lanjut Arshad berkata, siasatan pegawai penyiasat di lokasi mendapati nahas berlaku di laluan lurus dan mendaki bukit.
“Nahas berlaku di jalan tiga lorong, lurus dan mendaki bukit, manakala cuaca baik tetapi keadaan gelap kerana laluan itu tidak berlampu.
“Saksi kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan. Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat dan siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE