KOTA BHARU – Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) bekerjasama dengan Agensi Nuklear Malaysia (ANM) untuk menghasilkan biji benih baharu untuk proses penanaman kenaf di Cuping, Perlis.
Ketua Pengarah LKTN, Idris Mohd. Salleh berkata, penggunaan biji benih baharu tanam kenaf yang masih dalam proses percubaan itu bermula pada September tahun lalu di kawasan seluas 200 hektar.
Menurutnya, langkah percubaan menggunakan benih baharu itu dijalankan di Perlis kerana persekitaran dan cuaca panas di negeri terbabit sesuai untuk penanaman kenaf berbanding di tempat lain.
“Penanaman kenaf menggunakan benih baharu itu merupakan blok percubaan dengan kerjasama ANM untuk tujuan penyelidikan yang mengambil masa selama dua tahun.
“Penghasilan benih baharu itu menggunakan kaedah mutasi yang bertujuan untuk menghasilkan pengeluaran tanaman kenaf yang lebih tinggi dan keseragaman pokok yang sekata ,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat LKTN, Kubang Kerian di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Idris memberitahu, penggunaan benih baharu yang masih dalam kajian itu juga akan diperluaskan ke negeri lain terutamanya melibatkan tananam kenaf.
Katanya, sebaik proses penanaman percubaan berjaya, tanaman secara lapangan akan dilakukan dengan segera.
“Perjanjian antara LKTN dan ANM dalam pembangunan benih mutasi kenaf sudah dilakukan pada tahun lalu. Kita menyambut baik langkah kerajaan yang bekerjasama dengan ANM.
“Selain penghasilan benih baharu, KTN turut memperluaskan tanaman kenaf di Sabah dan Sarawak bermula awal tahun ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE