BANDAR GAZA – Tiada jaminan keselamatan menjadi penyebab bantuan bekalan bahan api dan perubatan sukar dihantar ke hospital-hospital di utara Gaza, lapor akhbar The Guardian.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, keadaan itu menjadikan hospital-hospital di utara Gaza lumpuh, bahkan ada yang terputus bekalan elektrik sepenuhnya.
Menurut agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu, sejak 7 Oktober lalu, tiada bahan api baharu dibenarkan masuk ke Gaza bagi menggerakan generator hospital dan loji penyahgaraman serta pengepaman yang penting untuk sistem air.
Beberapa hari lalu, pegawai bantuan optimis bahawa bahan api akhirnya boleh disertakan dalam konvoi bantuan yang masuk dari Mesir.
Namun pada petang semalam, jurucakap tentera Israel, Daniel Hagari berkata, bahan api tidak akan memasuki wilayah Palestin itu.
Video yang disiarkan semalam menunjukkan hospital Indonesia di utara Gaza terputus bekalan elektrik sepenuhnya selepas generator gagal beroperasi.
Disebabkan itu, pesakit-pesakit dari hospital yang dibina dengan dana daripada pemerintah Indonesia pada 2016 itu telah dipindahkan ke Hospital Al-Shifa yang sudah terlalu sesak.
“Wad penuh dengan kanak-kanak berlari. Jururawat-jururawat sudah kepenatan. Seorang rakan sekerja telah bekerja selama 24 jam. Kami tidak boleh membenarkan pesakit keluar kerana mereka takut dibom sekali lagi dan tidak tahu ke mana harus pergi,” kata seorang petugas kesihatan. – Agensi