ALOR SETAR – Seorang pelajar Universiti Antarabangsa Albukhary (AIU) di sini tidak dapat menyembunyikan perasaan bimbang mengenai nasib keluarganya selepas kediaman mereka di Gaza, Palestin musnah dibom tentera Israel baru-baru ini.
Basma Z.S Almaza, 22, berkongsi kebimbangan itu selepas menerima mesej daripada ibunya yang memaklumkan keluarga di Gaza kini hanya menunggu maut dan meminta dia menjaga diri sebaiknya.
Pelajar Jurusan Pentadbiran Perniagaan itu berkata, mesej tersebut diterima kelmarin daripada ibunya, Ibtisam AbuZauiter, 55, yang kini berlindung di sebuah penempatan selepas insiden pengeboman tentera Israel sejak 7 Oktober lalu.
“Ibu dan bapa serta tiga adik-beradik saya kini terpaksa berpindah-randah untuk mencari tempat berlindung setelah rumah kami di Gaza musnah akibat serangan tentera Zionis,” katanya.
“Semalam (kelmarin) saya mendapat mesej dari ibu dan dia maklumkan mereka semua akan mati! Ibu nasihatkan saya jaga diri baik-baik kerana tiada siapa lagi akan menjaga saya selepas ini.
“Mesej ini benar-benar menghancurkan hati saya,” luah Basma ketika ditemui Kosmo! di sini kampus AIU di sini semalam.
Basma turut berkongsi pengalamannya bahawa situasi genting yang berlaku di Gaza susulan serangan Israel kali ini adalah yang paling teruk yang pernah disaksikannya.
“Saya tidak pernah melihat situasi seperti ini di Gaza walaupun serangan sering berlaku.
“Sejak saya lahir, saya telah menyaksikan empat kali serangan tetapi kali ini berbeza. Semuanya hancur jadi debu. Malah hospital, masjid dan bangunan sekolah musnah. Saya tidak dapat bayangkan,” katanya.
Menurut Basma, keluarganya kini terpaksa berlindung di sebuah penempatan di selatan Gaza setelah kediaman mereka musnah pada hari tragedi itu.
“Saya menghubungi ibu setiap hari sejak serangan, namun tujuh hari lepas kami terputus hubungan sehingga semalam. Saya mendapat tahu tiada makanan dan air bersih, tidak dapat saya bayangkan keadaan mereka.
“Saya juga tidak tahu keadaan di kampung halaman kerana pangsapuri yang pernah menjadi tempat tinggal saya dan keluarga sebelum ini sudah rebah ke bumi. Tiada lagi kampung halaman saya,” ceritanya.
Bercerita lanjut, Basma mengakui dia sepatutnya pulang ke Gaza ketika cuti semester bulan lalu untuk menemui keluarga, namun dihalang oleh ibunya itu.
“Sebelum (peperangan) ini berlaku, saya memang berhasrat untuk pulang ke Gaza tetapi ibu melarang. Saya bertanya kenapa? Dia begitu menghalang saya kembali ke Gaza. Katanya, kalau peperangan berlaku saya akan terperangkap di Gaza. Firasat ibu sangat kuat,” ujarnya.
Menurut gadis ini, kali terakhir dia bertemu dengan keluarganya adalah pada dua tahun lalu ketika mereka menghantarnya di Mesir untuk menyambung pengajian di AIU.
“Ibu yang minta saya datang ke sini. Katanya, kami perlu berkorban. Saya datang kerana ibu dan negara saya. Rancangan saya adalah untuk kembali dan berkhidmat di kampung halaman.
Saya ingin pulang melakukan sesuatu untuk negara saya tetapi apa lagi yang tinggal kini?
“Saya sendiri tidak berpeluang mengucapkan selamat tinggal dengan sempurna kepada mereka sebelum ini, tidak memeluk mereka dengan erat sebelum ini tetapi sekarang entah adakah lagi peluang saya bertemu mereka semula. Namun, doa saya sangat kuat setiap hari agar keajaiban muncul di Gaza,” katanya.
Untuk rekod, terdapat 17 pelajar dari Palestin yang menyambung pengajian di AIU dalam pelbagai bidang di bawah tajaan Yayasan Albukhary dan sembilan daripada mereka berasal dari Semenanjung Gaza.
Sejak 7 Oktober lepas, Israel menyerang bertubi-tubi ke atas Semenanjung Gaza sehingga memusnahkan kediaman selain mengakibatkan ribuan penduduk termasuk kanak-kanak menjadi korban.