BANDAR GAZA – Serangan udara tentera Israel ke atas Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober lalu menyebabkan lebih 181,000 unit rumah rosak, kata Pejabat Media Kerajaan Hamas kelmarin seperti laporan agensi berita Anadolu.
“Lebih 20,000 unit rumah pula sama ada musnah sama sekali atau tidak dapat lagi didiami,” kata jurucakap pejabat itu, Salama Marouf pada sidang media di Bandar Gaza.
Beliau berkata, sebanyak 72 bangunan kerajaan dan berpuluh-puluh kemudahan awam serta perkhidmatan lain turut mengalami kerosakan.
Menurut jurucakap itu, sebanyak 177 sekolah, 32 masjid dan tiga gereja turut mengalami kerosakan teruk akibat serangan tentera Israel.
Dalam pada itu, jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Iyad Al-Bozom berkata, kebanyakan bom yang digunakan tentera Rejim Zionis di Gaza adalah buatan Amerika Syarikat (AS).
Rejim Zionis melancarkan kempen pengeboman tanpa henti di Semenanjung Gaza selepas Hamas membedil lebih 5,000 peluru roket ke arah Israel pada 7 Oktober lalu.
Lebih 6,000 orang terbunuh dalam konflik itu termasuk lebih 5,000 orang di Palestin dan lebih 1,400 penduduk Israel.
Sementara itu, sekurang-kurangnya 42 peratus daripada semua unit rumah di Semenanjung Gaza telah musnah atau rosak akibat serangan berterusan Israel, kata pejabat kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) seperti dilaporkan portal berita The New Arab.
“Kira-kira 15,100 unit rumah musnah, dan 10,656 unit rumah lagi tidak dapat didiami,” kata Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) dalam satu kenyataan akhbar yang dihantar kepada The New Arab.
“Selain itu, 139,000 unit rumah mengalami kerosakan kecil hingga sederhana, manakala sebilangan kejiranan mengalami kemusnahan sepenuhnya, terutama di Beit Hanoun, Beit Lahia, Shujaiya, kawasan antara Gaza dan kem pelarian pantai, serta Abasan Kabira di Khan Yunis,” tambah OCHA.
Kenyataan itu menjelaskan bahawa penilaian di kawasan Gabenor Gaza Utara yang dilakukan oleh Pusat Satelit PBB, mengenal pasti sebanyak 927 bangunan musnah dan 4,337 bangunan yang mengalami kerosakan sederhana hingga teruk, bersamaan kira-kira 15 peratus daripada semua bangunan di kawasan itu.
Bagaimanapun, penilaian itu berdasarkan perbandingan imej pada 15 Oktober lalu dengan gambar pada 1 Mei 2023, demikian menurut OCHA.
Ia menegaskan bahawa serangan Israel secara berterusan juga mengakibatkan jumlah kematian terkumpul mencecah lebih 5,000 penduduk Palestin, di mana 62 peratus ialah kanak-kanak dan wanita.
Lebih 1,000 penduduk Palestin lagi dilaporkan hilang dengan mereka dianggap terperangkap atau mati di bawah runtuhan.
Kementerian sama menyatakan, jumlah kematian yang dilaporkan di Gaza dalam pusingan pertempuran semasa adalah 84 peratus lebih tinggi berbanding angka korban semasa perang Israel-Gaza selama 50 hari pada 2014.
Perang pada 2014 menyaksikan seramai 2,251 penduduk Palestin terbunuh.
Berikutan serangan udara Israel yang berterusan pada masa ini, kira-kira 1.4 juta orang hilang tempat tinggal di Gaza dengan kira-kira 566,000 orang hidup daif di 148 pusat-pusat perlindungan kecemasan yang ditetapkan untuk agensi pelarian Palestin PBB. – AGENSI