fbpx

Kitar semula minyak masak terpakai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Salah satu pusat sehenti Arus Oil di ibu kota untuk orang ramai menghantar minyak masak terpakai bagi tujuan kitar semula.

MINYAK masak merupakan bahan masakan yang tidak asing dalam kalangan masyarakat kerana merupakan satu keperluan utama dalam penyediaan makanan.

Oleh kerana digunakan hampir setiap hari terutama dalam kalangan peniaga makanan, terbit satu isu yang berlaku iaitu berhubung sisa minyak masak yang telah digunakan.

Isu ini wujud terutama dari aspek pengurusan sisa tersebut yang jika tidak diuruskan dengan baik boleh membawa kepada pencemaran alam sekitar.

Menurut Ketua Pegawai Teknologi, Arus Oil, Louis Ong, amalan yang biasa dilakukan segelintir masyarakat adalah dengan membuang sisa minyak masak terpakai ke dalam sink atau longkang yang menyebabkan sistem perparitan tersumbat.

“Antara sebab berlakunya banjir kilat dan masalah penyakit bawaan nyamuk adalah kerana sistem perparitan tersumbat yang antaranya disebabkan oleh pembuangan minyak masak terpakai.

“Ramai yang tidak menyedari bahawa terdapat alternatif lain selain membuangnya begitu sahaja iaitu dengan mengitar semula minyak masak terpakai untuk penghasilan biodiesel yang digunakan bagi menggerakkan lori dan mesin industri,” katanya ketika ditemu bual K2 pada pameran Cabaran Kuala Lumpur Urban Kreatif di Dataran Merdeka baru-baru ini.

Sebelum ini, pengoperasian Arus Oil adalah dengan pergi dari rumah ke rumah, namun kini diperhebat dengan penggunaan aplikasi dan pusat sehenti.

Tambahnya, meskipun kitar semula untuk biodiesel bukanlah sesuatu yang boleh dipraktikkan di rumah, namun ramai yang tidak menyedari terdapat pelbagai agensi yang melaksanakan usaha pengurusan sisa minyak masak terpakai termasuk Arus Oil.

Arus Oil merupakan sebuah syarikat penyedia platform kitar semula untuk minyak masak terpakai yang membolehkan isi rumah dan perniagaan mengitar semula minyak masak yang telah digunakan.

Minyak masak itu kemudian diserahkan kepada satu pihak lain untuk dikitar semula menjadi biodiesel.

Sebagai solusi membudayakan kitar semula dan memudahkan penduduk di Kuala Lumpur menguruskan sisa minyak mereka, Arus Oil turut mewujudkan pusat sehenti untuk mengumpul minyak masak terpakai.

Jelas Louis lagi, pusat sehenti ini merupakan inisiatif mereka untuk menggalakkan amalan kitar semula minyak masak terpakai yang bertanggungjawab.

Katanya lagi, dengan menangani pelupusan minyak masak terpakai yang tidak betul, inisiatif ini akan menyumbang pengurangan masalah berkaitan longkang, termasuk banjir kilat dan risiko kesihatan di ibu kota.

“Secara amnya, operasi pengumpulan minyak masak terpakai dilakukan menerusi aplikasi Arus Oil yang mana orang ramai boleh muat turun dan mendaftar bagi membolehkan pengguna menguruskan sisa minyak mereka bersama kami.

“Pada awalnya, jika pengguna mahu serahkan minyak terkumpul, kutipan dilakukan dari rumah ke rumah, namun kini opsyen itu ditambah dengan adanya pusat sehenti iaitu mereka boleh datang sendiri pada bila-bila masa,” ujarnya.

Tambahnya, pusat sehenti tersebut turut ditempatkan di lokasi-lokasi strategik berdekatan kawasan perumahan atau stesen minyak di ibu kota bagi memudahkan akses buat orang ramai.

Setiap minyak yang dikumpul menerusi pusat sehenti juga akan direkodkan dalam aplikasi menerusi sistem imbasan kod QR yang terhubung dengan akaun pengguna.

Kongsinya lagi, menerusi aplikasi Arus Oil juga, penukaran minyak masak terpakai boleh dijadikan sebagai pendapatan sampingan.

Jelasnya, hal ini yang menjadikan kitar semula minyak masak terpakai sebagai satu rutin yang menjana pendapatan dan boleh membantu ekonomi keluarga kerana setiap minyak yang diserahkan dibayar mengikut harga semasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI