GEORGE TOWN – Wanita Keadilan Pulau Pinang menyifatkan pihak yang sengaja menggunakan foto isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail untuk menggambarkan beliau mempunyai hubungan akrab dengan isteri Perdana Menteri Israel, Sara Netanyahu sebagai perbuatan jijik dan murahan.
Ketua Wanitanya, Nurhidayah Che Rose berkata, pihaknya kecewa dan sedih dengan sikap sesetengah pihak yang menjadikan perbuatan yang tidak berperikemanusiaan Israel kepada rakyat Palestine sebagai permainan politik dalam negara.
”Baru-baru ini tular imej Ahli Parlimen Bandar Tun Razak yang juga isteri kepada Perdana Menteri Malaysia, Wan Azizah yang dikaitkan dengan isteri kepada Benjamin Netanyahu, Sara Netanyahu.
”Beberapa foto digunakan dan telah diputar belit oleh pihak yang tidak bertanggungjawab seakan-akan berusaha untuk mewujudkan persepsi bahawa Wan Azizah mempunyai hubungan akrab dengan Sara Netanyahu,” katanya di sini, hari ini.
Sebelum ini, pengguna media sosial didapati memuat naik gambar dan video Wan Azizah yang disunting daripada Instagram milik Perdana Menteri Israel semasa hadir ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78 di New York, Amerika Syarikat, 21 September lalu.
Menurutnya, sebagai klarifikasi, walaupun Malaysia tidak pernah mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara berdaulat, Wan Azizah telah menghadiri satu sesi perjumpaan isteri-isteri pemimpin dari setiap negara bersempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 21 September 2023 yang bertempat di Amerika Syarikat.
”Kami percaya ia merupakan salah satu cara untuk menyebarkan kebencian dan anasir politik murahan kepada rakyat Malaysia yang kini turut terkesan dengan perbuatan gila Israel terhadap saudara mara kita di Palestine.
”Siapa sangka, sedang saudara mara serta anak-anak kita di Palestine dibunuh dan ditindas dengan kejam, ada pihak di negara Islam ini tergamak mempolitikkan keadaan tersebut demi memuaskan dendam serakah politik yang melampau,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, beliau menyeru agar seluruh rakyat Malaysia bersatu hati tanpa mengira latar belakang dan fahaman politik untuk terus bersama-sama memperjuangkan nasib rakyat Palestin atas nama kemanusiaan.
“Janganlah kita menjatuhkan maruah agama dan bangsa hanya untuk memenangkan anasir politik murahan,”katanya. -KOSMO! ONLINE