TOKYO, Jepun – Polis wilayah Aichi mengeluarkan waran tangkap ke atas seorang gadis berusia 25 tahun kerana disyaki menipu seorang lelaki berumur 54 tahun supaya memberikan wang tunai kepadanya sebanyak 52 juta yen (RM1.62 juta), lapor laman berita The Mainichi kelmarin.
Waran tangkap ke atas Mai Watanabe dikeluarkan selepas dia memperdayakan lelaki berkenaan yang ditemuinya di sebuah kedai tempat dia bekerja.
Perbuatan itu dilakukan sekitar Julai 2021 hingga Jun 2022.
Gadis berkenaan didakwa menipu lelaki tersebut dengan menyatakan bahawa dia telah memulakan syarikat pakaian ketika masih belajar di sebuah sekolah vokasional. Tambah gadis itu, dia berhutang dengan seorang kenalannya.
Namun, syarikat tersebut dikatakan gagal beroperasi, manakala hutang itu belum dilunaskan.
Mangsa kemudian memindahkan kira-kira 52 juta yen ke dalam akaun suspek sebanyak enam kali.
Suspek selain itu turut didakwa melakukan satu lagi penipuan pada 11 Oktober lalu kerana memperdayakan seorang lelaki yang melibatkan wang tunai berjumlah 38 juta yen (RM1.21 juta). – AGENSI