PETALING JAYA – Sepertinya menjawab persoalan yang ditimbulkan bekas isteri Shakilla Khoriri, penyampai radio Fizi Ali berkongsi foto momen bahagia dengan isteri baharu, Siti Zulaikha, 30, dengan anak-anak mereka.
Menerusi hantaran terbaharu dalam Instagram, Fizi atau nama sebenarnya, Fizi atau Mohd. Hafizudin Alimudin, 34, ‘healing’ seketika bersama keluarga bahagianya di sebuah taman tema air.
“Hari ini daddy dan mama bawa anak-anak pergi waterpark (taman tema air). Dari pagi sampai ke malam jalan.
“Penat mereka duk main-main. Tidurlah sayang. Awak berdua tak salah. Maafkan daddy dan mama kalau ada yang terkurang,” tulisnya sebagai kapsyen foto dimuat naik.
Dalam hantaran sama, kelihatan Ameena yang merupakan anak dengan bekas isteri Fizi berpegangan tangan sampai tertidur bersama kakak tirinya.
Terdahulu, bekas isteri Fizi iaitu Shakilla mempersoalkan muat naik sekeping foto yang tular menyaksikan mulut Ameena ditekup kakak tirinya itu. Katanya, dia tidak senang dengan perkara tersebut.
Shakilla juga mengakui terkejut apabila menerima berita perkahwinan Fizi memandangkan dia baru bertemu bekas suaminya itu yang mahu mengambil anak mereka.
Menurut Shakilla, 34, Fizi sepatutnya berterus-terang apabila menerima banyak pertanyaan tentang berita perkahwinannya.
23 Oktober lalu, Fizi mengumumkan sudah menamatkan zaman duda dengan isteri baharu, Siti Zulaikha.
Sebelum ini, penyampai radio Hot FM itu pernah mendirikan rumah tangga dengan Shakilla pada 18 Februari 2018 namun bercerai dua tahun kemudian.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang cahaya mata bernama Ameena Sofia, 4. – KOSMO! ONLINE