PETALING JAYA – Cuaca buruk diramal berlaku hampir di setiap negeri sehingga pukul 5 petang, hari ini.
Menurut laporan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) di laman Facebook, cuaca buruk dilaporkan melanda negeri Perlis, Kedah, Perak dan Pulau Pinang
“Keadaan yang sama turut dijangka melanda negeri Kelantan, Pahang, Terengganu, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor,” jelasnya.
Tambah MetMalaysia, antara kawasan lain yang diramal dilanda hujan lebat petang ini adalah di Sabah iaitu di kawasan Pedalaman, Pantai Barat, Kudat, Tawau dan Sandakan.
Bagi Sarawak pula, hujan melibatkan satu dua tempat di Samarahan, Serian, Sri Aman, Sibu, Mukah, Kuching, Betong, Sarikei, Kapit, Bintulu, Miri dan Limbang.
“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimiter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam,” katanya dalam hantaran sama.
Tambahnya, amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran. – KOSMO! ONLINE