SABAK BERNAM – Fenomena ruang udara yang disinari warna hijau mencetuskan tanda tanya dalam kalangan penduduk setempat di kawasan Sungai Besar malam tadi.
Gambar itu dipercayai dirakam seorang individu di sebuah taman perumahan dan kemudian memuat naik ke dalam media sosial.
Kejadian itu menarik perhatian netizen yang mendakwa turut menyaksikan perkara sama.
Seorang pemilik akaun Facebook (FB) berkata, cahaya hijau yang dilihatnya itu mencetuskan tanda tanya.
“Sungai Besar kenapa terang sangat cahaya ini dan bergerak?,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Dalam pada itu, penduduk perasan penampakan cahaya hijau tersebut di hadapan rumahnya.
“Habis sahaja (selesai) azan Isyak, ia terus hilang dan kejadian itu aneh kerana berlaku di depan rumahnya yang menghadap jalan.
“Belakang rumah saya laut, tetapi saya nampak depan rumah, (mustahil nelayan) candat sotong dekat jalan, (rasa) pelik,” katanya.
Namun, netizen mengaitkan cahaya itu datang daripada arah bot nelayan yang melakukan aktiviti mencandat sotong di laut berdekatan.
“Cahaya itu dipercayai dari bot nelayan di kawasan bagan berhampiran. Namun, cahaya hijau di angkasa itu dipercayai berlaku dalam tempoh singkat dan keadaan langit kembali gelap,” katanya. – KOSMO! ONLINE