PENSOHOR media sosial Indonesia, Bunda Corla meluahkan rasa gembira dan bangga apabila operasi bedah plastik pada bahagian wajahnya berjaya dijalankan.
Jika sebelum ini dia yang berusia 48 tahun itu mengamuk apabila dikatakan masih berwajah lelaki, kali ini pujian pengikut dalam Instagram yang diikuti lebih lima juta peminat itu membuatkannya teruja.
Malah, turut mendedahkan dia proses menjalani tiga prosedur pembedahan bagi mendapatkan wajah awet muda.
Antara pembedahan kosmetik yang dijalani oleh Bunda Corla ialah ‘brow lift’ iaitu bahagian dahinya di sekitar mata dinaikkan bagi menghilangkan kedutan.
Pemilik nama sebenar Cynthia Corla Pricillia itu turut melakukan prosedur ‘facelift’ untuk menegangkan kulit wajah dan memperbaiki struktur muka agar tampak lebih muda.
Katanya yang bermastautin di Jerman, dia melakukan pembedahan hidung bagi membaik pulih bentuknya selepas menjalani prosedur sama pada tahun 1997.
Menerusi satu hantaran dalam akaun TikTok, dia kini meraih banyak pujian apabila dikatakan mirip penyanyi Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Terharu dengan sambutan yang diterima, Bunda Corla memuat naik dua video yang berlatarkan lagu nyanyian Siti, Bukan Cinta Biasa dan Sesuci Lebaran.