HULU LANGAT – Terpukul dengan kenyataan maestro muzik Datuk Ramli MS yang berpendapat penghibur perlu mempunyai album sebelum menganjurkan sesebuah konsert mendorong penyanyi Aina Abdul melancarkan album sulungnya, Imaji, hari ini.
Pemilik nama penuh Nurul Aina Abdul Ghani itu mengakui meskipun berdepan kekangan waktu, dia sedaya upaya menyiapkan naskhah tersebut sebelum menjelang konsertnya di Axiata Arena, awal bulan hadapan.
“Waktu Tok Ram (Ramli MS) cakap artis perlu ada album sebelum buat konsert ketika jadi juri di Big Stage lalu buat saya menggeletar. Walaupun komen itu bukanlah secara langsung kepada saya, namun saya boleh rasa semua orang ketawakan saya.
“Saya dapat rasa ada suara-suara sinis kata padan muka. Ketika itu saya rasa tercabar dan sangat kerdil duduk bersebelahan dengan Tok Ram. Kalau saya ada magik, saya nak siapkan album pada ketika itu juga untuk tunjukkan padanya.
“Namun perkara tersebut tidak menjadi kudis malah saya jadikan sebagai pembakar semangat untuk bekerja keras menghasilkan album,” katanya kepada Kosmo! Online.
Pada masa sama, pelantun lagu Terus Hidup itu tidak menafikan album tersebut dilancarkan bagi menutup mulut segelintir pihak yang sering mempertikaikan tindakannya mengadakan konsert di Axiata Arena meskipun tidak mempunyai album dan deretan lagu popular.
Stigma berlarutan itu membuatkan penyanyi berusia 30 tahun dirundung kesedihan selain berharap pandangan sebegitu dapat diubah.
“Ramai yang cakap kenapa nak pergi konsert Aina Abdul? Lagu dia berapa kerat sahaja. Benda macam ini buat saya ‘down’.
“Kalau kita tengok artis luar negara, ada yang hanya mempunyai dua lagu hit, tetapi tetap lakukan konsert. Kalau mereka boleh, kenapa di sini tidak. Saya rasa stigma ini perlu diubah.
“Untuk penyanyi generasi baru macam saya, walaupun kita tak punya banyak lagu popular, kita masih boleh lakukan persembahan seperti ‘showcase’ dan sebagainya. Saya sedih dengan stigma itu dan tidak setuju dijadikan isu,” ujarnya.
Album Imaji akan mula dipasarkan secara digital bermula hari ini (25 Oktober) bersempena tarikh lahir Aina.
Aina turut berkerjasama dengan empat penerbit tersohor seperti Mac Chew, Jenny Chin, Ezra Kong dan Affan Mazlan.
Antara lagu di dalam album ini adalah Jangan Mati Rasa Itu, Imaji, Puas Sudah, Kejam, Bilang, Lost, Penat Jiwa dan banyak lagi. – KOSMO! ONLINE