PUTRAJAYA – Jemaaah Menteri akan memuktamadkan penubuhan sebuah agensi tunggal sempadan negara (SBA) bagi mengawal selia pintu masuk negara dalam masa terdekat.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, buat masa ini, kerajaan belum memutuskan kementerian khusus bagi menyelia agensi tunggal itu.
Bagaimanapun, katanya, beliau meminta warga Kementerian Dalam Negeri (KDN) supaya bersiap sedia sekiranya kementerian dan agensi bawahnya dipertanggungjawabkan terhadap SBA.
“Saya sebut bahawa mana-mana sempadan negara di dunia, tentu kepentingan keselamatan itu lebih berat dalam aspek kawalan sempadan dan pintu masuk negara. Memang dalam banyak agensi (mengawal selia sempadan), agensi di bawah KDN lebih banyak.
“Sebab itu saya menggesa warga KDN supaya bersiap sedia dan andai kata dalam masa terdekat ini keputusan dibuat, sudah tentu saya akan segera hebah kepada rakan media,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Sambutan Jubli Intan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), di sini hari ini.
Pada pembentangan Belanjawan 2024 lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penubuhan SBA sebagai sebahagian daripada inisiatif memperkukuh tahap kesiapsiagaan pertahanan dan keselamatan negara.
Pada 20 Januari lalu, Saifuddin dilaporkan berkata, inisiatif SBA yang dirancang sejak 2018 bagi menyatukan lebih 20 agensi penguat kuasa di 141 pintu masuk antaranya Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Menurutnya, inisiatif itu mengambil contoh agensi sempadan di negara antarabangsa termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom, Kanada dan New Zealand. – KOSMO! ONLINE