KUALA LUMPUR – Hasrat untuk menyaksikan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik meraih gelaran kedua berturut-turut tidak tertunai apabila menarik diri daripada menyertai kejohanan badminton Terbuka Perancis.
Bekas juara dunia itu sepatutnya dijadualkan turun menentang Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin di pusingan pertama petang ini, namun perkembangan terbaharu menyaksikan beregu Indonesia itu mendapat kemenangan percuma dan layak ke pusingan kedua.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), beregu No.3 dunia itu terpaksa menarik diri bagi memastikan mereka dapat kembali menampilkan aksi lebih bertenaga pada kejohanan akan datang.
“Aaron Chia-Soh Wooi Yik menarik diri dari Terbuka Perancis 2023. Kami menantikan kemunculan semula mereka dengan lebih segar dan bertenaga,” kata badan induk itu menerusi status yang dimuat naik di laman Facebook.
Terdahulu, Aaron-Wooi Yik menamatkan kemarau kejuaraan dalam saingan Jelajah Dunia BWF (Persekutuan Badminton Dunia) selepas memenangi Terbuka Denmark yang berlangsung di Odense minggu lalu.
Selepas ini, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu akan menyertai kejohanan Jepun Masters bermula 14 hingga 19 November depan dan dijadualkan bertemu beregu Taiwan, Lee Yang-Wang Chi Lin di pusingan pertama. – KOSMO! ONLINE