SHAH ALAM – Aspek keselamatan di tempat kerja perlu dipertingkatkan dalam mewujudkan suasana kerja yang selamat di kalangan pekerja.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) merekodkan sebanyak 6,719 kes kemalangan di tempat kerja pada tahun lalu.
“Kerajaan memandang serius berhubung jumlah kes ini, jadi saya harap syarikat terutama sekali dalam industri kecil sederhana (IKS) ambil maklum mengenai statistik ini.
“Majikan juga boleh menganjurkan latihan serta seminar keselamatan supaya pekerja sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan semasa bekerja,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan Persidangan dan Mesyuarat Agung Asia Pacificic Occupational Safety&Health Organisation (APOSHO) 2023, hari ini.
Dalam pada itu, Fadillah menegaskan persidangan seperti ini dapat membantu pertukaran pandangan serta berkongsi maklumat apabila turut disertai beberapa syarikat di Asia Pasifik.
Sementara itu, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud menjelaskan pindaan terhadap Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 sebelum ini telah menunjukkan komitmen serius kerajaan yang prihatin terhadap keselamatan pekerja di tempat kerja mereka.
“Mana-mana majikan yang gagal menyediakan persekitaran tempat kerja yang selamat akan dikenakan denda yang tinggi oleh kerajaan,” katanya. -KOSMO! ONLINE.