fbpx

5,648 kawasan ‘hotspot’ banjir menjelang Monsun Timur Laut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan 5,648 kawasan ‘hotspot’ banjir di 163 daerah di seluruh negara bagi menghadapi bencana banjir ketika Monsun Timur Laut (MTL), bermula bulan hadapan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, antara negeri yang dijangka terlibat dengan kemungkinan itu adalah Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, dan Sarawak.

Katanya, bencana tersebut diramal bermula lebih awal tahun ini iaitu dari November 2023 hingga Mac 2024.

“Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali akan mengetuai operasi ini sebagai Komander Operasi Bencana di peringkat pusat.

“PDRM telah mengenal pasti negeri berisiko tinggi seperti Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan Sarawak serta 5,648 kawasan ‘hotspot’ banjir di 163 daerah di seluruh negara untuk memudahkan perancangan awal atur gerak penugasan dan pelan intervensi keselamatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, bagi memantapkan lagi operasi, Razarudin memaklumkan pihaknya juga bekerjasama dengan agensi keselamatan yang lain bagi memastikan misi menyelamat mangsa dapat dilaksanakan dengan pantas.

“Dalam menghadapi MTL, PDRM sedia untuk menggerakkan aset-aset seperti 503 buah bot banjir, treler bot (206 buah), lori (497 buah), kereta pacuan empat roda (802 buah), ambulan (17 buah), jet ski (lima buah) jaket keselamatan (6,028 helai), dan lapan pesawat udara mengikut keperluan dan perkembangan semasa bencana,” ujar beliau.

Tambah beliau, terdapat lima agensi kerajaan termasuk PDRM akan ditugaskan menghadapi MTL dengan jumlah kekuatan anggota seramai 61,839.

“Jumlah itu merangkumi 19,085 anggota PDRM, Angkatan Tentera Malaysia(4,205 anggota), Jabatan Bomba dan Penyelamat (24,114 anggota), Angkatan Pertahanan Awam (10,510 anggota) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (3,925 anggota).

“PDRM bersama rakan-rakan agensi keselamatan lain akan sentiasa mengambil tindakan segera di kawasan yang terlibat bencana banjir,” katanya.

Sehubungan itu, Razarudin mengingatkan agar masyarakat terutamanya yang tinggal di kawasan berisiko banjir agar memberikan kerjasama serta patuh kepada arahan untuk dipindahkan keluar.

“Arahan tersebut demi keselamatan serta mengelakkan kejadian tidak diingini. PDRM akan memastikan tahap keselamatan termasuk di sempadan negara kekal diberikan tumpuan sepanjang tempoh banjir,” katanya.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI