PERSEORANGAN lelaki profesional negara, Lee Zii Jia belum pasti sama ada akan beraksi atau tidak pada kejohanan badminton Terbuka Perancis yang akan berlangsung di Rennes bermula hari ini hingga Ahad depan.
Ia gara-gara dua kejohanan berturut-turut yang disertai pada Terbuka Arctic dan Terbuka Denmark sebelum ini menyebabkan kondisi bekas juara Seluruh England (All England) itu tidak berada dalam keadaan terbaik.
Justeru, pemain No.11 dunia itu perlu berbincang terlebih dahulu dengan jurulatih serta pasukannya berhubung penyertaan di Terbuka Perancis kerana ada dua kejohanan besar iaitu Terbuka Jepun dan China Masters berlangsung bulan depan.
“Secara jujur, sebenarnya saya 50-50 untuk Terbuka Perancis kerana itu adalah kejohanan ketiga berturut-turut. Badan saya juga sudah penat, jadi perlu bincang sama ada cukup cergas ataupun tidak untuk bermain.
“Selepas ini pun ada Terbuka Jepun dan Terbuka China (China Masters) dengan kedua-duanya adalah kejohanan besar,” katanya selepas menamatkan saingan Terbuka Denmark kelmarin sebagai naib juara.
Pada aksi final yang berlangsung di Fyn Arena, Odense, Zii Jia terpaksa akur dengan kekalahan straight set 12-21, 6-21 kepada pemain China, Weng Hong Yang dalam tempoh 33 minit sahaja.
Dalam pada itu, Zii Jia tidak mahu menghiraukan sebarang perkara negatif yang mengganggu rentaknya kerana anggap dia sudah kembali mendapatkan keyakinan dengan corak permainan sebenar.
“Saya akan buang semua perkara negatif dan hanya ambil aura positif untuk terus bergerak ke depan. Saya sudah semakin yakin dengan permainan sendiri dan akan cuba untuk bermain lebih konsisten,” ujarnya.