KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan bakal didakwa di mahkamah esok membabitkan pertuduhan pengubahan wang haram.
Menerusi kenyataan di laman Facebook rasminya sebentar tadi, beliau diminta hadir ke mahkamah pukul 8.30 pagi.
“Saya akan hadir untuk mempertahankan diri dan yakin mahkamah tempat terbaik untuk mendapatkan keadilan. Saya berterima kasih kepada pegawai SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) yang menyoal siasat saya dengan berhemah,” antara katanya dalam laman Facebook itu.
Sementara itu, peguam, Amer Hamzah Arshad yang mewakili Wan Saiful ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada 21 Februari lalu dan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima rasuah hampir RM7 juta berkaitan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).
Wan Saiful turut didakwa meminta rasuah berkaitan projek Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuh Raya Pantai Timur bernilai RM232 juta daripada Kerajaan Malaysia secara pra kelayakan.
Bagi pertuduhan pertama, Wan Saiful didakwa meminta rasuah sekitar bulan April 2022 di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana di sini.
Pertuduhan kedua, Wan Saiful didakwa menerima RM6,962,694.54 melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya, WSA Advisory Group Sdn. Bhd. daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Nepturis Sdn. Bhd.
Tertuduh didakwa menerima upah bagi membantu Nepturis mendapatkan Surat Setuju Terima bagi projek tersebut yang bernilai RM232 juta.
Wan Saiful didakwa melakukan perbuatan itu di antara 8 Julai 2022 dan 30 September 2022 di CIMB Bank Cawangan Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku, Bukit Tunku di sini.
Bagi kedua-dua pertuduhan itu, pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 ang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, pada 29 Mei lalu, Wan Saiful memfailkan permohonan untuk membatalkan dua pertuduhan dengan alasan pertuduhan dikemukakan ke atasnya adalah cacat tetapi ditolak mahkamah. – KOSMO! ONLINE