MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Erik Ten Hag sudah kesuntukan masa dan kehabisan alasan jika pasukannya terus gagal meriah kemenangan pada aksi di Liga Juara-Juara bertemu FC Copenhagen awal pagi esok.
Permulaan musim ini agak mengecewakan buat The Red Devils selepas mengalami empat kekalahan dalam sembilan aksi awal Liga Perdana Inggeris, malah turut tewas untuk kedua-dua perlawanan Kumpulan A Liga Juara-Juara setakat ini.
Walaupun berjaya meraih kemenangan ke atas Brentford dan Sheffield United dalam dua aksi Liga Perdana Inggeris, namun ia masih lagi menimbulkan keraguan dalam kalangan peminat yang enggan melihat United tersingkir awal.
Bagaimanapun, Ten Hag pastinya lega dengan dua kemenangan itu yang akan menghadirkan motivasi tambahan kepada anak-anak buahnya untuk berdepan Copenhagen.
Pengendali dari Belanda itu turut memberi amaran jelas kepada para pemainnya bahawa mereka tidak boleh lagi dipalit kekalahan di pentas Eropah dan kini sedang giat melakukan persiapan akhir sebelum turun ke gelanggang.
“Kami kena membina skuad yang lebih baik, namun saya masih lagi gembira dengan persembahan pemain setakat ini. Kami perlu harungi satu demi satu perlawanan dan fokus sekarang adalah pertemuan dengan Copenhagen,” kata Ten Hag.
Dalam masa sama, Ten Hag juga cukup gembira apabila Harry Maguire kembali menemui prestasi terbaik dan mungkin akan terus memainkan peranan dalam pasukan.
“Saya perlu katakan Harry dan Jonny (Evans) bermain dengan baik. Harry berjaya beraksi seperti yang kami mahukan daripadanya dan dia kekal proaktif sepanjang perlawanan,” jelasnya. – AGENSI