LONDON – Penjaga gol Arsenal, Aaron Ramsdale dijangka kembali berada dalam skuad utama apabila turun bertemu Sevilla untuk aksi Kumpulan B Liga Juara-Juara di Stadium Ramon Sanchez Pizjuan awal pagi esok.
Ramsdale, 25, tiada dalam senarai pasukan ketika The Gunners seri 2-2 dengan Chelsea pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stamford Bridge kelmarin kerana menyambut kelahiran cahaya mata keduanya.
Bagaimanapun, penjaga gol England itu diramal memanaskan bangku simpanan buat kali ketujuh berturut-turut musim ini kerana pengurus Arsenal, Mikel Arteta lebih cenderung menggunakan David Raya sebagai pilihan utamanya.
Situasi itu terus menjadi perdebatan ramai dan terbaharu pengkritik bola sepak yang juga legenda Manchester United, Gary Neville mengecam tindakan pengendali berusia 41 tahun itu kerana boleh ‘merosakkan’ karier Ramsdale.
“Apabila penjaga gol melakukan kesilapan, itu adalah masalahnya. Arteta mempunyai penjaga gol yang bagus dan menanti peluangnya, tetapi tidak diberikan peluang walaupun dia tidak melakukan apa-apa kesalahan.
“Ia masih mengejutkan kami semua kerana dia tidak bermain sudah lebih sebulan. Pada awalnya kami menjangkakan cuma beberapa perlawanan tetapi kini boleh dilihat Raya sebagai No. 1 di Arsenal.
“Inilah masalahnya kerana Raya mula melakukan banyak kesilapan sejak kebelakangan ini. Mungkin kerana dia terlalu selesa dengan situasi semasa, jadi Ramsdale perlu diberikan ruang bermain bermula sekarang,” katanya.
Berdasarkan prestasi semasa The Gunners, sukar dilihat Ramsdale disenaraikan dalam kesebelasan utama menentang Sevilla yang masih segar dengan kejayaan mengikat Real Madrid 1-1 dalam aksi La Liga kelmarin. – AGENSI