PETALING JAYA – “Abang, minta doakan saya dan isteri dapat zuriat”. Demikian coretan hajat pada sekeping nota yang diselit bersama tip oleh seorang pelanggan kepada penunggang p-hailing yang pernah tular suatu ketika dahulu.
Menariknya, individu di sebalik nota sayu itu kini kembali tular selepas hantarannya dalam laman Facebook sekali lagi menarik perhatian ramai.
Menurutnya, iringan doa rider bersama rakyat Malaysia adalah asbab doa tersebut dimakbulkan Tuhan setelah isterinya kini disahkan hamil.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rider tersebut, disebabkan doanya dan rakyat Malaysia, isteri saya kini disahkan mengandung.
“Alhamdulillah dan syukur. Saya minta tolong carikan rider tersebut sebab saya ingin ucapkan terima kasih kepadanya,” katanya.
Susulan perkongsian khabar gembira itu, hantaran tersebut telah memuncak sekali gus meraih 267 tanda suka dan 54 perkongsian.
Meninjau ke ruangan komen, orang ramai tidak melepaskan peluang utnuk mengucapkan tahniah atas berita gembira yang dikongsikan oleh lelaki tersebut.
“Alhamdulillah. Rezeki berkat bersedekah dan berkat doa rakyat malaysia. Penantian abang ini nak dapat zuriat akhirnya termakbul,” kata Hazmie.
“Dah jumpa ke rider tu? Alhamdulilah berkat doa rakyat Malaysia,” kata Neko.
“Alhamdulilah. Semoga isteri dan bakal zuriat abang ini dalam lindungan Allah SWT,” kata Azira. – KOSMO! ONLINE