BALIK PULAU – Seorang penghantar makanan direman selama empat hari bagi membantu siasatan selepas dia disyaki menampar muka seorang kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) ketika sedang menjalankan tugas mengambil sampel jentik-jentik, semalam.
Tempoh reman ke atas suspek berusia 44 tahun itu dijalankan bermula hari ini sehingga 26 Oktober nanti.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Suprintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, penahanan ke atas suspek dilakukan di bawah Seksyen 332 Kanun keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.
“Kejadian berlaku semasa pengadu berusia 26 tahun sedang membuat pemeriksaan nyamuk aedes di kawasan rumah suspek jenis teres di Lebuh Mahsuri, Bayan Baru, kira-kira pukul 10.30 pagi semalam.
“Berdasarkan laporan, semasa pengadu sedang mengambil sample jentik-jentik di kediaman suspek, tiba-tiba suspek datang dan terus menamparnya pada bahagian muka beberapa kali,” katanya kepada Kosmo! di sini, hari ini.
Kamarul menambah, akibat kejadian tersebut, pengadu mengalami luka kecil pada dahi. -KOSMO! ONLINE