fbpx

Restoran ikonik ikan bakar terapung Melaka ditutup, jadi jeti pelancongan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEADAAN premis yang didakwa terbiar selepas ditutup sejak Mac lalu.

JASIN – Restoran ikonik Perkampungan Ikan Bakar Terapung di Umbai dekat ini yang dibuka sejak 2004 telah menutup operasinya pada Mac lalu selepas didakwa menanggung kerugian susulan jumlah pelanggan yang merosot sepanjang tempoh pasca pandemik Covid-19.

Satu klip video memaparkan suasana premis yang dikatakan terbiar sepi dan menyeramkan turut tular di laman sosial TikTok sejak kelmarin.

Pihak pengurusan, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Melaka (MCorp), Datuk Mohd. Yusof Abu Bakar bagaimanapun menjelaskan, satu projek baharu iaitu jeti pelancongan akan dibangunkan di lokasi tersebut sebagai usaha penjenamaan semula.

Jelasnya, rancangan kerja itu akan meliputi pembinaan chalet yang dilengkapi taman tema air mini melibatkan kos keseluruhan dianggarkan RM40 juta.

“Pembinaan ini melibatkan dua fasa iaitu fasa pertama dengan anggaran kos RM5 juta menggunakan dana dalaman Mcorp sendiri dan RM32 juta diperlukan untuk fasa kedua, ini kita akan mohon kepada kerajaan pusat untuk membantu.

“Bagi fasa pertama, kita akan baik pulih 24 lot gerai makan menjadi 24 buah chalet dilengkapi taman tema air mini, enam gerai kraftangan, sebuah restoran makanan laut, menara tinjau dan pentas persembahan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Tambahnya, model perniagaan ikan bakar yang mempunyai persaingan tinggi di negeri ini turut menjadi antara faktor penutupan restoran tersebut.

“Kita lihat modul perniagaan ikan bakar ini sudah tidak sesuai, kerana itu kita mahu membina jeti pelancongan yang pertama di negeri ini untuk ke pulau-pulau yang diangkat sebagai taman laut negara seperti Pulau Undan dan Pulau Dodol.

“Jadi, kita harap orang ramai tidak menimbulkan spekulasi tempat ini terbiar sepi dan sebagainya kerana kita sedang dalam usaha untuk penjenamaan semula,” katanya.

Katanya, projek jeti pelancongan itu juga bertepatan dengan sambutan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) untuk kepelbagaian produk di Melaka dan pembinaan dijangka bermula pada tahun hadapan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI