BATU PAHAT – Jalan pintas yang juga penghubung antara Jalan Batu Pahat ke Tanjung Labuh di sini sejauh kira-kira 9.5 kilometer akan dapat digunakan sepenuhnya dalam tempoh setahun.
Kerja-kerja pembinaan semula menyiapkan jalan yang terhenti pembinaannya pada tahun 2022 akan disambung hujung tahun ini sebelum dijangka berjaya disiapkan tahun hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, laluan baharu merentasi jalan Kampung Rahmat dan Estet Sri Gading itu pada asalnya dijangka siap pada Disember 2019.
Katanya, laluan yang akan memberi manfaat kepada hampir 50,000 pengguna jalan untuk sehari ini berfungsi memendekkan jarak perjalanan kepada hanya 9.5 kilometer dan masa hanya kira-kira 10 minit.
“Peranan utama pembinaan jalan berjumlah RM29 juta adalah untuk mengurangkan kesesakan trafik di dalam kawasan Bandar Batu Pahat di Jalan Persekutuan (FT050) dan laluan FT 005.
“Pengguna jalan tidak lagi perlu melalui Bandar Batu Pahat untuk ke Pekan Rengit, Minyak Beku dan Senggarang,” katanya slepas meninjau projek Jalan Kampung Rahmat dan Estet Sri Gading di sini hari ini.
Ujarnya lagi, skop projek ini adalah untuk membina jalan pintas dua lorong dua jalan dengan piawaian jalan negeri yang memberikan keselesaan apabila aliran trafil lancar dan terkawal. – KOSMO! ONLINE