LYON – Pengendali skuad ragbi Afrika Selatan, Deon Davids menjangkakan pertemuan final Piala Ragbi Dunia 2023 menentang New Zealand adalah aksi impian dengan kesukaran untuk menjangka pasukan mana yang bakal mendominasi saingan itu Ahad ini.
Sebagai rekod, skuad Springboks telah bertemu dengan All Blacks pada aksi final edisi 1995 dengan keputusan berpihak kepada negara benua Afrika itu.
Malah, kedua-dua negara boleh dianggap sebagai seteru tradisi dalam kejohanan ragbi terbesar dunia apabila sering bertemu pada beberapa kejohanan lepas seperti edisi 1999, 2003, 2015 dan 2019.
Kata Davids, saingan kali ini mungkin sukar untuk dijangka kerana kedua-dua negara memiliki kehebatan dan kelemahan tersendiri, tetapi harus diakui kedua-dua pasukan berada di puncak prestasi menjelang final nanti.
“Ketika kecil, anda akan selalu dengar perseteruan epik melibatkan pasukan All Blacks dan Afrika Selatan sehingga melahirkan ramai legenda hebat. Harus diakui mereka adalah sebahagian daripada sejarah ragbi.
“Namun, saya percaya situasi kali ini berbeza dengan saingan lebih sengit bakal diberikan oleh kedua-dua pasukan. Lebih menarik, kita tidak boleh jangka langsung pasukan mana yang akan bergelar juara kerana masing-masing berada pada tahap terbaik.
“Kali terakhir kita bertemu New Zealand adalah pada Ogos lepas apabila menang aksi persahabatan 35-7 tetapi itu bukanlah kayu ukuran. Saya percaya perlawanan final Sabtu ini akan berlangsung lebih sengit lagi,” katanya. – AGENSI