PUTRAJAYA – Semua Ketua Setiausaha Kementerian (KSU) dan Ketua Pengarah (KP) agensi kerajaan diseru menggerakkan kutipan sumbangan untuk Tabung Kemanusiaan Palestin bagi Perkhidmatan Awam dalam tempoh dua minggu.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali berkata, tabung itu dilancarkan hari ini bagi menunjukkan solidariti dan semangat kemanusiaan dalam kalangan penjawat awam terhadap perjuangan rakyat Palestin.
“Kerajaan menubuhkan Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin bagi membantu mengurangkan penderitaan rakyat Palestin akibat konflik yang sedang berlaku di Semenanjung Gaza, Palestin.
“Dengan ini, saya menyeru semua KSU atau KP dapat menggerakkan kutipan sumbangan secara agresif dalam tempoh dua minggu di peringkat kementerian, jabatan dan agensi masing-masing,” katanya menerusi hantaran Instagram hari ini.
Pada masa sama, beliau juga berharap, walaupun sekecil mana sumbangan, namun ia begitu bermakna buat saudara seagama di sana. KOSMO! ONLINE