fbpx

Pengarah syarikat didakwa buat tuntutan palsu RM59,560

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TERTUDUH yang diiringi peguamnya, Vijaya Sandran (kiri) mengaku tidak salah membuat tuntutan palsu Program Penjana 2.0 berjumlah RM59,560 di Mahkamah Sesyen di Kuantan hari ini.

KUANTAN – Seorang pengarah syarikat didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan membabitkan tuntutan palsu Program Insentif Pengambilan Pekerja bernilai RM59,560.

Tertuduh, M. Sentil Kumar, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.

Menurut empat pertuduhan, tertuduh selaku pengarah syarikat dengan niat memperdaya Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) telah mengemukakan dokumen iaitu borang pengesahan pekerja Program Insentif Pengambilan Pekerja atas nama perusahaan SP Agro Industry bagi menuntut insentif di bawah Program Penjana 2.0 berjumlah RM59,560.

Tertuduh didakwa menyerahkan dokumen mengandungi penyata palsu tentang butiran matan iaitu nama pekerja baharu sedangkan kesemua 14 pekerja yang dinamakan dalam dokumen tersebut bukan pekerja SP Agro Industry Sdn. Bhd. bertujuan mengelirukan Perkeso.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di Wisma Perkeso, Jalan Mat Kilau, di sini pada 24 Jun 2021.

Justeru tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta yang sama.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Rifah Izzati Abdul Mutalif memohon agar tertuduh dikenakan ikan jamin sebanyak RM30,000 berserta syarat tambahan.

Tertuduh yang diwakili peguam Vijaya Sandran merayu jaminan dikurangkan kepada RM10,000 berikutan tertuduh perlu menanggung ayah yang sedang uzur.

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin selain mengarahkan tertuduh melaporkan diri di Pejabat SPRM Temerloh setiap bulan bermula November ini serta tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga perbicaraan selesai.

Mahkamah menetapkan 23 November sebagai tarikh serahan dokumen dan pengurusan kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI