BANGKOK – Seorang pencuri berusia remaja di Thailand yang percaya dia mempunyai kebolehan untuk menjadi halimunan, akhirnya diberkas polis selepas cuba melarikan sebuah motosikal, lapor laman berita Thaiger hari ini.
Dalam kejadian di daerah Ban Dung, wilayah Udon Thani itu, suspek, Kupoe, 19, ditangkap penduduk kampung yang mengejarnya.
Ketika menyelongkar beg yang dibawanya, penduduk menemui pelbagai barangan lain yang dicuri termasuk pokok ganja, batu pengisar traktor dan bajak papan acuan traktor.
Turut ditemui adalah bunga lily, gelang tangkal Buddha dan wang kertas nominasi 100 baht yang didakwa suspek mampu membuatkan dia tidak dapat dilihat oleh mata kasar semasa mencuri.
Menurut suspek, dia dan rakan subahatnya, Not telah mencuri tiga buah motosikal sebelum melihat motosikal keempat yang diletakkan di luar sebuah rumah dengan kunci yang ditinggalkan.
Ketika cuba melarikan kenderaan itu, pemiliknya menyedari perbuatan mereka lalu menjerit, yang menyebabkan orang ramai mengejarnya.
Not bagaimanapun lolos menggunakan motosikal tersebut, manakala Kupoe berjaya ditangkap. – AGENSI