GUA MUSANG – Mayat seorang lelaki dipercayai Orang Asli ditemui dalam timbunan sampah dan sisa kayu semasa kerja-kerja pembersihan menggunakan jengkaut dijalankan di jambatan besi Sungai Berok, Ladang Kilang Liziz (LPG) dekat Kuala Betis di sini, hari ini.
Mangsa lelaki berusia lingkungan 40-an dan tidak berpakaian itu dijumpai kira-kira pukul 8.45 pagi oleh pemandu jengkaut yang melakukan kerja pembersihan di kawasan ladang terbabit.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, pihaknya menerima maklumat tentang penemuan itu kira-kira pukul 9.05 pagi tadi dan mayat tanpa identiti itu dipercayai telah berada dalam sungai berkenaan sejak dua hingga tiga hari lalu.
“Pemeriksaan awal pada tubuh badan mangsa mendapati terdapat kesan pecah pada kepala dan kaki yang berkemungkinan terkena batu atau kayu dalam sungai. Siasatan lanjut berhubung kejadian itu masih dijalankan,” katanya.
Choon Foo memberitahu, mangsa berkemungkinan meninggal dunia akibat dihanyutkan arus sungai dan lemas sebelum dijumpai di tempat kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut kerana tiada unsur perlakuan jenayah. – KOSMO! ONLINE