PENGENDALI skuad Ulsan Hyundai, Hong Myong-bo mengakui mana-mana pasukan yang bakal ditentang dalam kancah Liga Juara-Juara Asia (ACL) termasuk Johor Darul Ta’zim (JDT) boleh memberikan ancaman tersendiri.
Menurut Myong-bo, barisan pemain perlu memanfaatkan kelebihan bermain di laman sendiri sekiranya mahu melakar kemenangan ke atas skuad Harimau Selatan kendalian Esteban Solari itu.
“Semua perlawanan adalah penting buat pasukan kami dan mana-mana pasukan yang kita temui boleh memberikan ancaman.
“Saya percaya pemain sudah cukup matang dalam memastikan hasrat pasukan untuk meraih keputusan positif dapat direalisasikan.
“Apa yang pasti, saya yakin pasukan lawan akan bermain tanpa sebarang tekanan tetapi pemain tidak mahu anggap ia sebagai perlawanan mudah andai mahu mengutip mata berharga,” katanya.
Sebagai rekod, kedua-dua pasukan pernah bersaing di peringkat yang sama pada kempen ACL yang lepas dengan JDT berjaya menang 2-1 pada kedua-dua perlawanan, sekali gus muncul juara kumpulan.
Bagaimanapun, Ulsan kini dilihat pasukan yang berbeza memandangkan status mereka sebagai juara Liga Korea Selatan (K1) musim lepas.
Malah, mereka juga memiliki ramai pemain terbaik termasuk tonggak import yang perlu diberi perhatian seperti Gustav Ludwigson dan Martin Adam selain bintang tempatan termasuk kapten, Jung Seung-hyun.