KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 27 Oktober ini bagi keputusan rayuan pelakon, Amelia Henderson yang diperintah membayar ganti rugi lebih RM200,000 kepada syarikat produksi A.Aida Production Sdn. Bhd. dalam isu pelanggaran kontrak sebuah drama tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman Leong Wai Hong menetapkan tarikh itu iaitu pada Jumaat ini selepas selesai mendengar rayuan peguam Mansheel Kaur yang mewakili Amelia selaku perayu dan hujahan balas peguam Ashmadi Othman yang mewakili syarikat produksi itu selaku responden.
“Saya akan memberikan keputusan (rayuan Amelia) Jumaat ini. Jika pihak-pihak ada menyelesaikan perkara (rayuan) secara baik sebelum keputusan sila maklum juga pada Jumaat ini, ” kata Pesuruhjaya Kehakiman itu dalam prosiding yang dibuat secara dalam talian Zoom sebentar tadi.
Sebelum ini, Amelia atau nama sebenarnya Amelia Thripura Henderson, 28, telah memfailkan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkannya membayar ganti rugi lebih RM200,000 kepada syarikat produksi A.Aida Production Sdn. Bhd pada 18 April lalu.
Antara alasan utama dalam rayuan itu, adalah terhadap keseluruhan keputusan Mahkamah Sesyen Sivil sebelum ini.
Terdahulu pada 7 April lalu, Amelia diperintah membayar ganti rugi lebih RM200,000 terhadap syarikat produksi A.Aida Production Sdn. Bhd.
Hakim Zulqarnain Hassan memutuskan demikian selepas membenarkan tuntutan saman yang difailkan syarikat produksi itu selaku plaintif terhadap saman yang dikemukakan kepada Amelia selaku defendan.
Dalam penghakimannya ketika itu hakim tersebut berkata, mahkamah mendapati Amelia telah diikat dengan kontrak yang ditandatangani dalam drama Sekali Lagi Cinta Kembali.
Penghakiman mahkamah juga mendapati Amelia sendiri bersetuju membintangi drama itu selain turut bersetuju watak yang ditawarkan iaitu “Aira” yang mana Amelia adalah heroin dalam drama tersebut.
Justeru mahkamah memerintahkan Amelia membayar ganti rugi am selain faedah 5% kepada plaintif yang kesemuanya berjumlah lebih RM200,000.
Bagaimanapun pada Ogos lalu, Amelia berjaya dalam permohonannya untuk menangguhkan permohonan maaf dan bayaran ganti rugi lebih RM200,000 terhadap syarikat produksi A.Aida Production.
Mahkmah Sesyen Sivil itu membuat keputusan tersebut selepas membenarkan rayuan Amelia selaku pemohon.
Bagaimanapun mahkamah memerintahkan agar wang tersebut dimasukkan ke dalam akaun bersama yang akan dikendalikan oleh kedua-dua firma guaman yang mewakili syarikat produksi itu dan Amelia. – KOSMO! ONLINE.