fbpx

Mahkamah: Pegawai Kemas didakwa beri tender kepada adik ipar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nor Akma (tengah) didakwa menyalahguna kuasa melibatkan pemberian perolehan bernilai keseluruhan RM23,000 di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini.

KUALA TERENGGANU – Seorang pegawai Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas sembilan pertuduhan menyalahguna kuasa membabitkan perolehan bekalan bernilai lebih RM23,000.

Tertuduh, Nor Akma Abd. Ghani, 44, membuat pengakuan tidak bersalah sebaik kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Azhar Othman.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang merupakan Ketua Pembantu Tadbir Pusat Latihan Kemas Terengganu didakwa menggunakan jawatannya bagi tujuan mendapatkan suapan tersebut.

Dia didakwa menyokong borang pesanan pembelian bagi perolehan penyediaan makan minum, bekalan pemacu pena, bekalan barang asrama dan rumah tamu serta bekalan bahan mentah masing-masing bernilai antara RM400 sehingga RM6,500.

Nor Akma didakwa mempunyai kepentingan memandangkan syarikat terlibat merupakan milik adik iparnya.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Pusat Latihan Kemas Terengganu di Kuala Nerus sejak Ogos 2019 sehingga Mei 2022.

Dia didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI