PARIT BUNTAR – Seorang pekerja kontrak dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas pertuduhan membunuh anak lelaki teman wanitanya berusia dua tahun di Bagan Serai dua minggu lalu.
Tertuduh, Muhammad Haziq Mustapa, 26, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Syaiful Akmal Mohamad Razi, namun tiada pengakuan direkodkan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga seorang duda didakwa melakukan kesalahan bunuh dengan menyebabkan kematian Ayyash Aulian Muhammad Faizul berusia dua tahun di sebuah rumah di Taman Serai Permai, Bagan Serai antara 11 hingga 13 Oktober lalu.
Pertuduhan terhadap Muhammad Haziq yang tidak diwakili peguam itu dikemukakan Pegawai Pendakwa, Inspektor M. Saravanan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman mati jika sabit kesalahan
Mahkamah menetapkan 30 Januari depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia dan bedah siasat mangsa.
Menerusi laporan media pada 14 Oktober lalu, tiga individu termasuk pasangan suami isteri warga emas ditahan bagi membantu siasatan kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun.
Kejadian menimpa kanak-kanak malang itu terbongkar selepas polis menerima laporan daripada Klinik Kesihatan Bagan Serai mengenai mangsa yang dibawa dalam keadaan tidak sedarkan diri untuk dirawat sebelum disahkan meninggal dunia. – KOSMO! ONLINE