fbpx

Lambakan gerai itik salai: PBT ambil tindakan berperingkat atasi kesesakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Sufian ditemani Mohd Faizal (dua, kanan) menyerahkan surat kepada peniaga sebagai simbolik Program Penyerahan Kiosk Perniagaan di Pekan Tanjong Ipoh, hari ini.

KUALA PILAH – Pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pentadbiran daerah mengambil beberapa langkah ‘situasi menang-menang’ dalam usaha menangani masalah kesesakan lalu lintas terutama di Terachi yang kerap dikaitkan dengan deretan gerai jualan termasuk itik salai.

Yang DiPertua Majlis Daerah Kuala Pilah (MDKP) merangkap Pegawai Daerah Kuala Pilah, Mohd. Faizal Abdul Manap berkata, sejak lima tahun lalu, lebih 50 peniaga tepi jalan ditempatkan semula di lokasi lebih selamat bagi mengatasi masalah kesesakan.

Terbaharu, pihaknya dalam usaha menyiapkan Kompleks Budaya Terachi yang akan menempatkan 12 gerai jualan untuk peniaga sedia ada di tepi jalan yang agak berbahaya ke lokasi lebih tersusun dan menarik.

“Kita juga ada membuat penempatan semula peniaga di pusat peniagaan kecil seperti di Pekan Juasseh dan sambutan yang diterima amat menggalakan. Memang pada awalnya agak sukar peniaga berpindah, namun kita tawarkan pengurangan sewa dan sebagainya.

“Berdasarkan bancian, seramai 200 peniaga tepi jalan direkodkan dari Ulu Bendul hingga ke Pekan Kuala Pilah. Gerai-gerai tepi jalan ini walaupun menimbulkan kesesakan ia menjadi tarikan pelancongan serta mercu Kuala Pilah dengan kepelbagaian produk makanan, hasil kampung dan sebagainya,” katanya.

Beliau ditemui pada Program Penyerahan Kiosk Perniagaan di Pekan Tanjong Ipoh, di sini, hari ini.

Pada majlis berkenaan sebanyak 24 daripada 50 kiosk yang diperoleh PBT berkenaan diserahkan kepada peniaga secara percuma.

Mohd Faizal menjelaskan masalah berkenaan juga akan dapat diatasi sejajar dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu program di Jempol sebelum ini iaitu perlaksanaan Lebuh Raya Madani.

Menurutnya, lebuh raya tersebut akan menghubungkan Seremban-Bukit Putus- Serting, sekaligus mampu mengurangkan jumlah pengguna jalan raya di laluan tersebut.- KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI