PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa rakyat bersama-sama menyatakan pendirian tegas ketika solidariti di Axiata Arena, Bukit Jalil, malam ini.
Menerusi satu hantaran di Facebook Anwar berkata, pembantaian Zionis Israel ke atas Palestin harus dikecam dan menuntut supaya genjatan senjata segera dilakukan.
“Mari bersama nyatakan pendirian tegas mengutuk pembantaian Zionis Israel ke atas Palestin malam ini sebagai satu pasukan yang berpadu dan utuh.
“Kita tuntut gencatan senjata, hentikan serangan, mudahkan bantuan kemanusiaan, noktahkan kezaliman, kesengsaraan dan penderitaan yang telah dialami selama ini. Jumpa malam nanti!,” katanya.
Semalam, Anwar menyeru seluruh rakyat Malaysia berkumpul di Axiata Arena, malam ini bagi membuktikan solidariti negara bersama rakyat Palestin. – KOSMO! ONLINE