KUALA LUMPUR – Semua agensi media digesa membantu membetulkan laporan palsu media barat tentang situasi yang berlaku di Palestin.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, banyak laporan media asing yang tidak tepat menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Katanya, media perlu membantu masyarakat melihat isu berkaitan Palestin, bukan dari sudut keagamaan semata-mata tetapi lebih kepada isu kemanusiaan.
“Selain itu, fokus tentang peranan yang boleh dimainkan pihak media sama ada di Malaysia atau luar untuk membuat laporan yang adil, tepat dan berfakta.
“Contohnya laporan CNN yang buat laporan berat sebelah dan tidak benar jadi media kitalah yang main peranan untuk betulkan perkara tidak benar.
“Fokuskan kebenaran kerana tanpa laporan tepat orang akan keliru,” katanya ketika ditemui selepas berucap padaprogram Wacana Pengamal Media: Solidariti Palestin di studio TV Alhijrah, di sini, hari ini.
Semalam Kosmo! melaporkan, pempengaruh media sosial, Muhammad Sofian Abdullah atau Sofyank, menyindir cubaan media Israel untuk memfitnah pemimpin Hamas menerusi gambar-gambar yang disunting menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Selain itu, seorang wartawan asing turut dilaporkan ‘kantoi’ ketika berusaha untuk memburukkan pejuang Hamas dengan membuat laporan dalam keadaan meniarap, kononnya Hamas sedang giat menyerang Israel. – KOSMO! ONLINE