BEIJING – Rakaman video menunjukkan seorang individu membuang air kecil ke dalam bahan yang digunakan untuk membuat minuman keras jenama Tsingtao mendorong kilang bir itu dan pihak berkuasa China melakukan siasatan, lapor portal berita Fox News semalam.
Kilang Bir Tsingtao turut memaklumkan kepada pengguna dan pelabur tentang siasatan yang dilakukannya selepas video menunjukkan seorang lelaki memakai topi membuang air kecil ke dalam sebuah tong besar di salah satu kilangnya di Pingdu, menjadi tular.
Video itu mendapat perhatian meluas di platform media sosial, Weibo lewat minggu lalu.
“Syarikat itu meletakkan kepentingan utama kepada laporan media dan telah melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa keselamatan awam. Pihak berkuasa keselamatan awam kini terlibat dalam siasatan,” kata syarikat tersebut seperti dilaporkan portal berita CNBC.
Selain China, bir Tsingtao dijual di lebih 100 negara di dunia, demikian menurut laman webnya. – AGENSI