PUTRAJAYA – Kerajaan-kerajaan negeri disaran menggubal pelan kepelbagaian biologi di negeri masing-masing selari dengan Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan
DKBK) 2022-2030.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penggubalan pelan kepelbagaian biologi itu perlu susulan semakan semula ke atas dasar kepelbagaian biologi peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Beliau berkata, Malaysia kini menjadi antara negara yang terkehadapan dalam mengkaji semula Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan supaya ia terus relevan dengan keperluan semasa dan setara dengan tuntutan di peringkat antarabangsa.
“Saya dimaklumkan setakat ini Malaysia adalah negara ASEAN pertama yang berjaya melaksanakan semakan semula ke atas dasar kepelbagaian biologi peringkat kebangsaan.
“Malah, Malaysia juga telah mengintegrasikan semakan semula dasar itu selari dengan kerangka kepelbagaian biologi peringkat antarabangsa iaitu Kunming-Montreal Global Biodiversity Framework,” katanya.
Teks ucapan Perdana Menteri itu dibacakan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad sempena Majlis Perasmian Persidangan Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 2023 dan Pelancaran DKBK 2022 – 2030 di sini, hari ini.
Katanya, usaha-usaha untuk meningkatkan pengurusan kepelbagaian biologi sememangnya mencabar kerana terletak di bawah bidang kuasa negeri dan ia juga bidang yang merentasi sektor.
Justeru, Anwar berkata, bagi memperkukuh dan merancakkan agenda pemuliharaan kepelbagaian biologi di negara ini, beberapa inisiatif telah diambil seperti penubuhan Pasukan Petugas Kebangsaan bagi Konservasi Harimau Malaya (MyTTF), Majlis Biodiversiti Pahang; Sarawak Biodiversity Centre dan Sabah Biodiversity Centre.
Menurutnya, aspek pemuliharaan kepelbagaian biologi perlu diintegrasikan dalam perancangan pembangunan negara dan proses pembuatan keputusan.
“Kerjasama antara pusat dan negeri juga boleh diperkukuh Dasar Perhutanan Malaysia, Rancangan Fizikal Negara; Rancangan Fizikal Zon Pesisir Pantai Negara; dan Pelan Induk Rangkaian Ekologi Central Forest Spine,” katanya. – KOSMO! ONLINE