SHAH ALAM- Seorang duda tidak menyangka akan mendapat manfaat daripada Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) dicarum arwah isterinya yang meninggal dunia dua bulan lalu akibat serangan jantung.
Norsham Hassan, 45, berkata, pada awalnya dia menyangka panggilan diterima daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi memaklumkan perkara tersebut kepadanya adalah panggilan scammer
Jelasnya, dia langsung tidak mengetahui bahawa isterinya, Rosmawati Mohd. Safri, 38, yang merupakan suri rumah salah seorang daripada penerima manfaat skim Perkeso tersebut.
“Pada mulanya ingat kena scam selepas seorang individu memperkenalkan diri sebagai pegawai Perkeso menghubungi Ogos lalu. Kemudian pegawai Perkeso datang rumah dan menerangkan semuanya sebelum saya mengisi dokumen berkaitan bagi tuntutan tersebut,” katanya hari ini.
Terdahulu, Norsham menerima sumbangan faedah pengurusan mayat dan kotak prihatin daripada Timbalan Pengarah Perkeso Selangor, Abdullah Kamal Ahmad.
Norhsam yang merupakan penyelia projek lebuh raya sebuah syarikat swasta berkata, dia akan menggunakan semua wang pencen penakat Perkeso secara bulanan sebanyak RM300 bagi keperluan tiga orang anaknya berusia 13 hingga 21 tahun.
Sementara itu, Abdullah Kamal Ahmad berkata, arwah Rosmawati merupakan salah seorang individu dilindungi di bawah skim tersebut melalui program eKasih dan layak menerima pencen penakat RM300 sebulan dan faedah pengurusan berjumlah RM2,000. – KOSMO! ONLINE