KUALA NERUS – Lebih ramai pelanggan mahu menggadaikan barangan kemas mereka berbanding untuk membeli selepas harga emas 916 di Terengganu melonjak ke paras tertinggi tahun ini mencecah RM283 segram (g) sejak dua minggu lalu.
Seorang peniaga, Nurul Hamizah Mohd. Izani mendakwa, kenaikan itu disebabkan faktor global terutama konflik serangan Israel di Palestin selain krisis kewangan dunia.
Nurul Hamizah berkata, emas mengalami kenaikan sehingga RM13 daripada RM270/g sebelum tercetus peperangan di Palestin kira-kira dua minggu lalu.
“Sebelum ini harga menunjukkan trend turun naik daripada RM270 kepada RM260/g sebelum naik RM5 beberapa kali bulan ini sehingga terkini mencecah RM283/g.
“Situasi ini menyebabkan lebih ramai pelanggan datang mahu menggadai barang kemas berbanding membeli.
“Kenaikan mendadak ini dipercayai berpunca konflik di Palestin dan faktor mata wang global yang tidak stabil di seluruh dunia,” katanya ketika ditemui di kedai emasnya di Kampung Batu 6, di sini semalam.
Sementara itu, seorang lagi peniaga, Zakaria Yusof berkata, sukar untuk meramal harga emas dalam masa terdekat selagi konflik di Palestin masih berlarutan.
Jelasnya, beliau tidak menolak kemungkinan harga emas akan terus melonjak mencecah hampir RM300/g dengan situasi turut bergantung kepada negara kuasa besar dunia.
“Jika perang di Semenanjung Gaza berakhir sekali pun, mungkin mengambil masa untuk melihat harga emas kembali turun disebabkan campur tangan Amerika Syarikat dan Rusia.
“Situasi ini pastinya menggusarkan golongan peniaga dengan sambutan dingin oleh pelanggan yang kini turut berhadapan dengan isu kenaikan kos sara hidup,” katanya.
Di Kota Bharu, peniaga emas di Pasar Siti Khadijah, Nur Farahanim Jakari, 28, berkata, kelmarin harga emas 916 bernilai RM284 berbanding semalam RM288.60 untuk satu gram.
Menurutnya, sejak seminggu lalu, ramai pemilik emas yang datang ke kedainya untuk menjual barang kemas masing-masing.
“Namun, ada juga yang datang membeli dan menukar corak untuk mengambil yang baharu.
“Walaupun emas mahal, penduduk di Kelantan memang gemar membeli barang kemas kerana corak yang dijual di kedai saya banyak keluaran terbaru,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Nur Farahanim berkata, kelmarin harga emas terpakai dibeli dengan harga RM262/g berbanding semalam bernilai RM264.
Tambahnya, para peniaga tidak menolak kemungkinan harga emas akan naik lagi minggu ini.