fbpx

Dua pengurus pusat memandu ditahan ‘jual’ kelulusan ujian komputer

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

JOHOR BAHRU – Dua pengurus di sebuah pusat latihan memandu di negeri ini ditahan kerana dipercayai menjalankan aktiviti menjual kelulusan ujian komputer untuk mendapatkan lesen memandu.

Kedua-dua suspek iaitu pengurus pemasaran dan pengurus pentadbiran di sekolah memandu itu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada pukul 7 malam, semalam.

Menurut sumber, suspek seorang lelaki dan seorang perempuan berusia 47 dan 43 tahun itu telah bekerja di pusat latihan memandu berkenaan sejak tahun 2021.

“Mereka dipercayai mengenakan bayaran antara RM400 hingga RM1,000 kepada mana-mana calon yang berminat untuk menjamin kelulusan ujian komputer bagi mendapatkan lesen memandu,” jelas sumber itu.

Penahanan kedua-dua suspek disahkan Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias sambil memaklumkan kes akan disiasat di bawah Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009.

“Setiap calon wajib menduduki ujian yang ditetapkan sebagai syarat mendapatkan lesen memandu bagi mempelajari serta memahami peraturan dan undang-undang jalan raya.

“Syarikat yang mengendalikan ujian pula perlu memastikan setiap calon hadir dan tidak diwakili mana-mana individu lain. Tiada jalan pintas dalam mendapatkan lesen memandu kerana ia melibatkan nyawa pengguna jalan raya lain,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI